PRU15: Pengundi mahu Kemaman lebih moden, lebih peluang untuk belia

Bernama
November 14, 2022 06:30 MYT
Deretan bendera BN dan Pas menghiasi jalan di sekitar Kemaman. - Foto BERNAMA
CHUKAI: Pemodenan sektor ekonomi dan memperluaskan peluang kerja golongan belia dilihat menjadi faktor menentukan pemilihan wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini bagi kerusi Parlimen Kemaman.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata warganya berharap agar pengundi dapat memilih calon yang mampu memajukan daerah itu berikutan masih banyak ruang serta potensi pembangunan yang boleh dilaksanakan.
Bagi pengusaha roti di Taman Semarak Binjai, Mukhatar A. Rahman, 59, peluang pekerjaan bagi golongan belia dilihat masih rendah meskipun Kemaman merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan kekayaan hasil bumi.
"Kami warga kampung terutama sekali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih harapkan ruang pekerjaan generasi muda dapat diperhebatkan kerana di DUN ini kebanyakan pekerjaan di ladang-ladang kelapa sawit, tidak seperti di Kemasik dan sebagainya.
"Jadi generasi muda ini mereka tidak berminat kerja-kerja di ladang kelapa sawit. Maka saya harapkan kerajaan baharu yang dipilih nanti, wujudkanlah lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda," katanya kepada Bernama.
PRU15-PEMILIHAN (KEMAMAN) 2 CHUKAI
Turut senada, seorang penduduk di Taman Koperasi Perdana Laidin Rahim, 58, berkata meskipun terdapat banyak fasiliti bagi industri berasaskan minyak dan laut di daerah itu namun peluang pekerjaan bagi golongan muda masih berada pada tahap yang rendah.
Katanya, inisiatif seperti memodenkan industri perikanan bagi industri nelayan tempatan dan naik taraf pusat pelancongan di persisiran pantai dilihat mampu membuka pelbagai potensi baharu kepada anak muda, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Sementara itu, peniaga Zahari Abdul Aziz, 56, mencadangkan mana-mana pemimpin yang dipilih Sabtu ini agar memberi tumpuan terhadap kebajikan peniaga kecil dengan menyediakan tapak dan kiosk yang kondusif.
"Sebab banyak peniaga di sini mencari rezeki dengan berniaga di tepi jalan raya kerana tiada tempat yang disediakan kepada mereka untuk berniaga. Jadi ini berisiko dan membahayakan keselamatan mereka.
Selain itu, seorang peniaga ikan di Pasar Binjai Ghazali Taib, 58, mengingatkan pengundi bagi Parlimen itu agar melakukan pemilihan pemimpin yang tepat dari aspek pembangunan dan kerohanian.
PRU15-PEMILIHAN (KEMAMAN) 2 (AKHIR) CHUKAI
"Apabila kita sebut pasal kerohanian itu, biarlah seimbang.. apa yang kita mahukan adalah pembangunan, ingin lihat Kemaman ini maju seperti di Kuala Terengganu. Pemimpin kita itu biarlah seorang yang berwibawa dan mampu membawa kemajuan ke dearah ini," katanya.
Parlimen Kemaman merupakan antara kerusi paling hangat di Terengganu susulan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mewakili Barisan Nasional (BN) membuat penampilan sulung pada peringkat Parlimen, menentang penyandang Che Alias Hamid daripada PAS.
Turut berentap untuk merebut kerusi yang mempunyai 139,423 pemilih itu ialah Hasuni Sudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan Rosli Ab. Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada PRU14, Che Alias menewaskan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (BN) dan Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi (PH) dengan majoriti 2,163 undi.
-- BERNAMA
#PRU15 #Malaysia Memilih #ekonomi #peluang pekerjaan
;