PRU15: Pengguna logo PN belum diputus, dimuktamad Pas - Tuan Ibrahim
Astro Awani
Julai 3, 2022 19:21 MYT
Julai 3, 2022 19:21 MYT
MARANG: Pas masih belum membuat sebarang keputusan serta memuktamadkan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bagaimanapun parti itu pernah menggunakan logo berkenaan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka walaupun calon berkenaan daripada parti Pas.
Jelas Tuan Ibrahim bagi menghadapi PRU15 nanti, rundingan penggunaan logo akan terus dilakukan sehingga mencapai satu kata putus.
"Belum muktamad (penggunaan logo PN), itu pandangan, itu cadangan daripada beberapa pihak tetapi parti belum membuat keputusan. Maka parti akan bincang perkara tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Di Pantai Marang, di sini pada Ahad.
Sementara itu ketika ditanya berhubung kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin berhubung penggunaan logo berkenaan pada pilihan raya akan datang, Tuan Ibrahim berpandangan itu adalah menerusi persetujuan sebelum ini.
"Saya fikir apa yang disebutkan itu ialah apa yang telah kita persetujui sebelum ini iaitu pilihan raya Melaka dan Johor yang kita gunakan satu logo," katanya.
Terdahulu Muhyiddin berkata Bersatu dan Pas sudah membuat keputusan sebelum ini untuk menggunakan logo PN pada PRU15.
Muhyiddin berkata, perkara itu turut dipersetujui Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.