PRU15: Pengeluaran kertas undi DUN Tioman ditangguhkan

Bernama
November 19, 2022 09:18 MYT
Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi. - Foto Facebook Md Yunus Ramli
KUANTAN: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman ditangguhkan hari ini susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli awal pagi ini.
"Penangguhan hanya melibatkan DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dijalankan seperti biasa," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata kenyataan lanjut berhubung status DUN Tioman, yang terletak dalam Parlimen Rompin akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli pula berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh SPR Putrajaya.
Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi.
Allahyarham daripada PAS yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada pilihan raya umum 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).
-- BERNAMA
#DUN Tioman #PRU15 #pengundian ditangguh #calon PN DUN Tioman meninggal dunia
;