PRU15: Pencalonan Aminuddin, laporan Ahmad Idham wajar diteliti SPR - Kamalanathan

Raja Hisyam Raja Zaid
November 10, 2022 23:34 MYT
Kamalanathan berkata, walaupun beliau percaya Aminuddin berkemungkinan telah melakukan semakan dari pelbagai aspek namun SPR wajar menelitinya. - Astro AWANI
PORT DICKSON: Status mengenai pencalonan Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson wajar diteliti jika dakwaan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Ahmad Idham Ahmad Nadzri mempunyai asas.
Menurut Datuk P. Kamalanathan yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi tersebut, walaupun beliau percaya Aminuddin berkemungkinan telah melakukan semakan dari pelbagai aspek namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menelitinya.
“Tapi kalau sekiranya Ahmad Idham telah membuat laporan ini maka saya harap pihak yang menerima laporan itu akan memberi maklum balas kepada laporan tersebut supaya kita tahu apa yang sebenarnya telah berlaku.
“(Aminuddin) Selaku Menteri Besar saya pun jangka beliau pun tahu boleh atau tidak, tapi kalau dia telahpun memberi pencalonan dan pencalonannya itu diterima, mungkin tak ada apa-apa isu kot. Tapi kalau ada laporan tersebut, ada (isu), saya rasa pihak berkenaan membuat siasatan sewajarnyalah,” katanya kepada Astro AWANI malam tadi.
Sebelum ini Ahmad Idham berkata, bantahan tersebut dibuat bertepatan dengan Akta Pilihan Raya Perkara 48 (1) C.
BACA: PRU15: Ahmad Idham bantah pencalonan Aminuddin di Port Dickson
Keputusan mengemukakan bantahan dibuat selepas mendengar pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pasukan penasihat undang-undang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakilinya.
Bagaimanapun, Ahmad Idham berkata, setakat ini masih belum ada lagi sebarang respon daripada SPR.
#PRU15 #p kamalanathan #Ahmad Idham Ahmad Nadzri #Aminuddin Harun
;