PRU15: Pemuda UMNO sudah muktamad senarai calon, Asyraf Wajdi turut tersenarai

Hilmi Malik
Oktober 12, 2022 18:37 MYT
Menurut Asyraf Wajdi, nama beliau turut tersenarai sebagai calon PRU15 bersama-sama dengan individu lain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pemuda UMNO telah menyenaraikan senarai calon yang bakal berentap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, nama beliau antara yang berada dalam senarai calon berkenaan dan telah dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi proses penilaian.
Bagaimanapun, kata Asyraf Wajdi, beliau tidak dapat berkongsi secara terperinci sama ada bakal bertanding di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita (Pemuda) telah hantar senarai calon peringkat Parlimen dan DUN kepada Pengerusi BN dan saya yakin lebih ramai calon wajah baharu yang akan ditampilkan kali ini termasuk saya sendiri,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn pada Rabu.
Pada Ogos lalu, kedengaran khabar Asyraf Wajdi bakal bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Perak, bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan itu hanya spekulasi semata-mata.
Asyraf Wajdi yang pernah bertanding di Pasir Puteh Kelantan pada PRU14, bagaimanapun, tewas dengan majoriti 1,360 kepada calon Pas, Datuk Nik Mohamad Zawawi Salleh.
Pasir Puteh ketika itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan calon PKR diwakili oleh Datuk Kamarudin Md. Nor.
#bubar parlimen #PRU15 #senarai calon #Pemuda UMNO
;