PRU15: "Pemuda UMNO bukan bacul", Dr Akmal cabar Syed Saddiq berentap di Jasin
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 19, 2022 19:00 MYT
Oktober 19, 2022 19:00 MYT
AYER KEROH: Pemuda UMNO Bahagian Jasin mencabar Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mempertaruhkan nasib di kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerusi Parlimen Jasin sesuai menjadi medan Syed Saddiq membuktikan kejaguhan kerana disifatkan lebih 'neutral'.
Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) hanya menang tipis di kerusi itu pada PRU14 lalu.
“Kita minta (dengan) kelantangan beliau bersuara dan idea politik perubahan yang dibawa ini sudah pasti memberikan satu keyakinan kepada Syed Saddiq bahawa dia boleh bertanding di mana-mana.
“Jadi saya pelawa Syed Saddiq untuk bertanding di Parlimen Jasin kerana parlimen ini kalau berdasarkan PRU14 lalu BN hanya menang majoriti tipis 219 undi sahaja dengan pertembungan tiga penjuru.
“Maka ini adalah satu ground yang neutral yang boleh dimenangi sesiapa pun dengan tambahan undi automatik atau Undi18 sebanyak 23,000 dan Jasin ini pun dekat sahaja dengan Muar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau membuat cabaran itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Syed Saddiq menuduh Pemuda UMNO sengaja membuat kekecohan ketika sesi ceramahnya di Muar, Johor baru-baru ini.
Katanya, Pemuda UMNO bukan bacul untuk membabitkan diri menganggu ceramah penyandang kerusi Parlimen Muar itu.
Mengulas lanjut katanya, tindakan Syed Saddiq itu dilihat seolah-olah sengaja menyebarkan kebencian dan keburukan parti lawan.
Katanya beliau yakin anak muda menolak politik jumud dan tidak matang mahupun memburukkan parti lain tanpa ada asas atau bukti yang kukuh.
“Syed Saddiq kalau benar jantan, kita buktikan melalui PRU dan juga proses mengundi. Jika benar agenda perubahan Syed Saddiq ini diterima, maka dia boleh menang PRU ini nanti dan jika tidak maka rakyat akan menghukum.
“Kalau bukan di Jasin pun, carilah mana-mana kerusi neutral lain, pemuda UMNO sedia untuk bertarung dan saya akan pastikan kita kempen secara sihat dan matang,”tambahnya.
Selain itu jelas Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, sekiranya Syed Saddiq terbuka untuk bertanding di Jasin, beliau akan memastikan kemenangan tetap berpihak kepada BN.
Parlimen Jasin pada PRU14 menyaksikan BN yang diwakili oleh Datuk Seri Ahmad Hamzah menang tipis dengan majoriti 219 undi menewaskan calon PKR dan Pas.