PRU15: Pemimpin tidak tercalon jangan jadi 'duri dalam daging' - Bung Moktar

Abdul Hafiz Mustadi
September 10, 2022 22:53 MYT
Tegas Bung Moktar, pemimpin BN Sabah yang tidak tercalon pada PRU15 tidak sepatutnya menjadi duri dalam daging kepada parti kerana ia akan melumpuhkan perjuangan gabungan itu. - Foto BERNAMA
KOTA BELUD: Amalan mensabotaj calon pilihanraya seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan merugikan Barisan Nasional (BN) sekiranya kejadian itu berulang lagi.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan semua pemimpin dan ahli parti di negeri itu agar mengambil pengajaran dan bermuhasabah sekiranya ingin memenangi PRU15.
"Kalau kita berpecah-belah, kalau kita masih cantas mencantas, belajarlah daripada kesilapan yang lalu.
"BN sudah pernah kalah. Kota Belud ini seharusnya tidak kalah kita sudah kalah. Pernah kalah tahun 2018.
"Kekalahan itu saya tahu antara lain faktornya, faktor sabotaj dan faktor potong-memotong", ujarnya.
Tambah Bung Moktar, pemimpin yang tidak tercalon pada PRU15 tidak sepatutnya menjadi duri dalam daging kepada parti kerana ia akan melumpuhkan perjuangan gabungan parti itu di dalam membangunkan negara.
"Tidak jadi calon, jangan kita sabotaj, jangan merajuk, jangan kecewa, jangan menghancurkan perjuangan.
"Sebab UMNO BN ni lain. Kita bukan hanya sebuah parti ttapi BN ini adalah sebuah perjuangan yang panjang lebar, yang berpanjangan untuk negara kita", tambah beliau.
Untuk rekod, Barisan Nasional memenangi kesemua ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di Kota Belud pada PRU Ke-14 namun gagal mempertahankan kerusi parlimen di daerah itu.
Antara faktor utama yang dikaitkan dengan kekalahan itu seperti yang dinyatakan Bung ialah tindakan mensabotaj calon oleh sebahagian pemimpin dan ahli parti itu.
#PRU15 #Barisan Nasional #Bung Moktar Radin #Sabah
;