PRU15: Pemimpin Srikandi Melaka, Bersatu Jasin umum keluar parti, tak puas hati isu calon
Shuhada Abdul Kadir
November 5, 2022 18:10 MYT
November 5, 2022 18:10 MYT
AYER KEROH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jasin ‘lumpuh’ selepas sebahagian besar kepimpinan bahagian itu mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Srikandi Bahagian Jasin, Azalina Abdul Rahman, yang juga Ketua Srikandi Bersatu negeri, mendakwa selain itu, pimpinan Srikandi Bersatu di empat daripada enam bahagian di negeri itu turut mengambil langkah sama membabitkan jumlah keseluruhan 320 orang.
Azalina yang mewakili mereka, mendakwa di Bersatu Jasin, antara pimpinan tertinggi yang melepaskan jawatan termasuk Timbalan Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian serta semua jawatankuasa bahagian.
Dakwanya, langkah itu diambil kerana mereka melihat hala tuju parti samar-samar susulan pencalonan calon luar parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Amat menghairankan apabila calon PRU15 bagi Perikatan Nasional (PN) ini bukanlah ahli kepada mana-mana parti komponen PN, malah calon diangkat dari parti musuh kepada PN itu sendiri yang kecewa namanya tidak berada dalam senarai calon parti mereka.
“Sebaliknya pelapis masa hadapan yang dilihat lebih kuat bekerja membantu menaikkan nama parti diketepikan dan ini jelas menunjukkan Bersatu tidak adil kepada pemimpin parti sendiri.
“Jika pemimpin parti sendiri tidak diberi ruang dan kepercayaan, bagaimana dengan nasib suara ahli bawahan seperti kami. Ini telah menjejaskan kepercayaan saya terhadap corak kepimpinan parti yang dilihat gagal mendengar suara dan memperkasakan ahli partinya sendiri,” dakwanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir adalah beberapa pemimpin bahagian yang meletakkan jawatan.
Ditanya sama ada beliau dan kumpulan itu akan memberi sokongan kepada calon parti lain sepanjang kempen PRU15, Azalina berkata ia terpulang kepada setiap individu.
Namun katanya, jawatankuasa bahagian itu bersedia untuk membantu calon anak tempatan iaitu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin Datuk Roslan Ahmad.
“Pendirian kami terpulang kepada masing-masing kerana apa yang berlaku ini bukan sahaja di Jasin. Jika kami diminta untuk membantu kemenangan asalkan bukan Pakatan Harapan (PH), kami akan bantu,” katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Bahagian Jasin, Mustaffar Ahmad berkata, kelemahan badan pimpinan negeri mempertahankan kerusi Bersatu di Parlimen Tangga Batu dan Jasin yang dilepaskan kepada rakan komponen adalah satu tindakan tidak bijak.
“Kami akar umbi melahirkan rasa kecewa keputusan pimpinan negeri dan pimpinan pusat tidak bijak mengatur politik di Melaka dan hasrat Bersatu untuk mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi turut dilihat hanya retorik semata-mata,” dakwanya.