PRU15: Pekan dijangka ada pertembungan lima penjuru?

Fareez Azman
November 3, 2022 13:00 MYT
Kerusi Parlimen P.085 Pekan dijangka menyaksikan pertembungan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. - Gambar fail
KUANTAN: Kerusi Parlimen P.085 Pekan dijangka menyaksikan pertembungan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Sumber Astro AWANI memberitahu, terdapat seorang lagi calon akan bertanding bagi merebut kerusi disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Sehingga kini, empat calon telah dinamakan untuk memasuki gelanggang pada 5 November ini.
Antaranya ialah Datuk Seri Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali daripada UMNO, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Naim Zainal Abidin mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohamad Radhi Abdul Razak mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
Bagi Sheikh Mohmed Puzi, meskipun terpaksa berdepan saingan sengit daripada pihak lawan, namun beliau sentiasa terbuka untuk bersaing secara sihat dalam sistem demokrasi.
"Saya difahamkan ada lima calon (termasuk Bebas), bagi saya tiada masalah dalam negara demokrasi apa parti nak bertanding.
"Tapi yang penting adalah trek rekod perjuangan saya pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya.
"Ia menentukan adakah saya calon bermusim nak dekat PRU baru nampak muka. Kita bercerita gegar perjuangan rakyat, tapi akhir kalam meninggalkan rakyat," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Pada PRU14 yang lalu, Najib berjaya mempertahankan kerusi disandangnya dengan majoriti 24,859 undi menewaskan tiga pencabarnya dari Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas.
#PRU15 #Malaysia Memilih #Pekan #Penjuru