PRU15: Peguam, Adnan Puteh calon Warisan di Parlimen Sipitang

Astro Awani
Oktober 14, 2022 20:00 MYT
SIPITANG: Datuk Adnan Puteh diumumkan calon Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Parti pertama yang mengumumkan calon di parlimen Sabah, Presiden Warisan itu yakin ketokohan Adnan yang merupakan peguam mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Pengumuman itu diumumkan Mohd Shafie pada siri jelajah PRU15 Parlimen Sipitang pada Jumaat.
"Saya bersekolah dengan beliau (Adnan) di London dan saya beritahu beliau, saya mahu suara lantang sebagai seorang peguam memperjuangkan hak Sabah di Parlimen," katanya.
Adnan 64 tahun berkemungkinan akan berdepan calon GRS Datuk Yamani Hafez Musa yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Selain itu, dalam ucapan sama Mohd Shafie turut menyeru rakyat supaya memilih parti tempatan yang akan memperjuangkan nasib Sabah dan Malaysia.
Katanya, selain Semenanjung, semua calon Warisan di Sabah perlu disokong dan menang pada PRU15 nanti.
"Ini penting kita membawa perubahan bukan hanya kepada Sabah tetapi juga Malaysia. Dari Perlis dan Kedah semua calon hebat-hebat akan ditampilkan tetapi tuan-tuan dan puan-puan mahu tahu di Sipitang, kita calonkan Datuk Adnan Puteh," katanya.
Pada PRU14, Yamani Hafez yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 852 undi menewaskan calon Warisan Noor Hayaty Mustapha serta Dayang Aezzy Liman (Parti Harapan Rakyat Sabah).
#calon Warisan #Parlimen Sipitang #PRU15 #Malaysia Memilih #Shafie Apdal #Warisan
;