PRU15: PBS yakin jadi parti pilihan rakyat Sabah - Ongkili
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mac 20, 2022 16:07 MYT
Mac 20, 2022 16:07 MYT
TUARAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili yakin parti itu akan menjadi pilihan rakyat Sabah terutama dalam usaha memperjuangkan hak rakyat.
Justeru, beliau menggesa jentera parti itu untuk menguatkan parti tersebut sama ada di peringkat bahagian dan cawangan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Kita jangka pilihan raya diadakan paling lewat pun tahun depan dan kawasan Tuaran adalah kawasan Parlimen yang kami idam-idamkan, dan parti sedang melihat untuk bertanding dan pertahan Kiulu dan dua DUN (Dewan Undangan Negeri) ini.
"Sokongan saya terhadap GRS cukup kuat, dan DUN yang dimenangi oleh parti-parti GRS akan terus dipertahankan dan dimenangi pada pilihan raya nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-36 dan 37 PBS bahagian Tamparuli pada Ahad.
Tambahnya lagi, PBS akan terus komited membangunkan negeri Sabah bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.
Sementara itu, Ketua Bahagian PBS Tamparuli Datuk Jahid Jahim berkata, selama 36 tahun PBS bertapak, mereka sentiasa berjuang untuk menuntut hak-hak negeri Sabah.
"PBS adalah satu-satunya parti yang berusaha untuk membawa rakyat dalam gerakan ini untuk menuntut apa yang telah dijanjikan dan alhamdulillah setelah begitu lama, 36 tahun di bawah di setiap persidangan secara konsisten iaitu Perjanjian Malaysia mesti dipenuhi sebab ini adalah asas negara ini ditubuhkan," katanya.
Menurut Jahid yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, beliau berharap perjuangan PBS akan menjadi pilihan utama belia di negeri itu dan PBS jelasnya akan terus membuat susulan terhadap pindaan yang telah dibuat dalam perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).