PRU15: PBS setia bersama GRS - Maximus Ongkili

Abdul Hafiz Mustadi
Jun 7, 2022 14:53 MYT
Sambil menghargai kesediaan Parti Warisan untuk bekerjasama dengan PBS, jelas Ahli Parlimen Kota Marudu itu lagi, pihaknya memilih untuk bersama dengan GRS.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian dan setia untuk bersama-sama gabungan politik tempatan sedia ada iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata presidennya, Datuk Seri Maximus Ongkili.
Sambil menghargai kesediaan Parti Warisan untuk bekerjasama dengan PBS, jelas Ahli Parlimen Kota Marudu itu lagi, pihaknya memilih untuk bersama dengan GRS.
"Kita memandang tinggi usaha Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan) untuk bekerjasama dengan PBS pada Pilihan Raya Umum nanti.
"Namun, sebagai parti pelbagai kaum yang tertua di Sabah, PBS komited untuk setia bersama rakan-rakan dalam GRS dan rakan kongsinya (Barisan Nasional)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ongkili menambah, usaha GRS hingga dilancarkan bulan lalu adalah tindakan baik sekali gus mengambil kira kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) mengajak Warisan dan penyokong parti tersebut untuk menyokong usaha GRS bagi membangunkan Sabah, menjamin kemakmuran dan keselamatan serta bebas daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, mana-mana parti politik tempatan di Sabah juga harus menyokong misi dan aspirasi GRS tanpa perlu menyertai gabungan tersebut.
#Parti Bersatu Sabah #Maximus Ongkili #Gabungan Rakyat Sabah #Kerjasama Warisan PBS
;