PRU15: Pastikan 'kerusi pengkhianat' tiada satu pun selamat - Anwar
Ridauddin Daud
Oktober 15, 2022 18:51 MYT
Oktober 15, 2022 18:51 MYT
KUALA LUMPUR : Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu jentera PH memastikan semua 'pengkhianat parti' itu tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Begitupun, tegasnya, fokus utama gabungan itu adalah untuk memastikan segala perancangan dilaksanakan supaya tidak lagi kedengaran rintihan daripada rakyat yang terasa dipinggirkan.
"Kita tunggu lama. Kita dapat sekejap kemudian dirampas pengkhianat-pengkhianat. Pastikan kerusi pengkhianat itu tiada satu pun selamat, kita humban mereka habis.
"Yang penting, peringkat pelaksanaan supaya jangan lagi ada suara merintih dari mana-mana kaum.
"Apa erti jadi seorang Presiden atau Perdana Menteri, bicara di khalayak dengan pakaian mahal, protokol memukau dan hebat, perbarisan sekuriti lengkap..
".. semua ada.. tapi langsung tidak merasai rintihan seorang bayi atau ibu tunggal yang terpaksa mengemis, kena tunggu pilihan raya, dapat RM200 untuk mencium tangan kamu yang busuk dengan rasuah itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Iltizam Wanita dan Jentera PRU15 Wanita Pakatan Harapan di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata PH bersedia memperuntukkan 30 peratus kerusi untuk calon wanita dalam PRU15.
"Ada juga polemik berkata kenapa tidak 40 atau 50 peratus tapi kalau dapat capai 50 peratus itu adalah sangat meyakinkan.
"Kita tak boleh nak pandang ringan tuntutan daripada wanita ini kerana wanita adalah tonggak dalam gerakan kita," ujarnya.
Bahang pilihan raya semakin hampir namun teka-teki di mana Ahli Parlimen Port Dickson itu akan bertanding masih hangat dibincangkan.
Berdasarkan kenyataannya sebelum ini, beliau dilaporkan akan bertanding di 'kerusi pengkhianat' namun ada juga khabar angin beliau akan bertanding di kawasan lain.
Antara yang disebut-sebut ialah Parlimen Gombak, kerusi bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.