PRU15: Pas yakin PN menang kerusi DUN Tioman 7 Dis ini
Astro Awani
November 29, 2022 12:00 MYT
November 29, 2022 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada 7 Disember ini.
Beliau yakin dengan prestasi PN yang sangat baik susulan kemenangan gabungan itu di kerusi Parlimen Rompin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.
"Ada petanda yang baik kerana prestasi kita sangat baik, bagi kerusi Parlimen Rompin kita menang.
"Kita harap undi itu tak berubah malah meningkat lagi,” katanya dalam satu sidang media bersama Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Tanjung Gemok, Rompin, pada Isnin.
Ketika ditanya adakah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan negeri Pahang akan mempengaruhi sentimen pengundi di kawasan Tioman, Abdul Hadi mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Itu kita tunggu dan lihat, itu kerajaan minoriti.
"Kita anggap kerajaan minoriti menghormati majoriti dengan menambah kemenangan di Tioman,” katanya lagi.
Calon PN, Nor Idayu Hashim berdepan empat calon lain dalam merebut kerusi DUN Tioman iaitu Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.
DUN Tioman mempunyai 28,465 daftar pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis, dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.