PRU15: Pas tuntut penjelasan Zahid Hamidi isu UMNO bergerak solo

Nur Fazlizai Ali
Oktober 13, 2022 00:00 MYT
AHMAD SAMSURI: Kita pun dengar daripada media, kita tak salahkan media, tapi kita nak dengar daripada mulut beliau sendiri. -Gambar fail/Bernama
KUALA TERENGGANU: Pas menuntut penjelasan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian parti itu untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun pendirian Ahmad Zahid itu telah dilaporkan media, namun Pas ingin mendengarnya daripada mulut presiden itu sendiri.
"Kami dalam proses untuk mendapatkan penjelasan daripada presiden mereka sendiri.
"Kita pun dengar daripada media, kita tak salahkan media, tapi kita nak dengar daripada mulut beliau sendiri," kata Ahmad Samsuri.
Sebelum ini, UMNO menetapkan tiga syarat kepada Pas dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua parti itu bagi menghadapi PRU15.
Tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.
Bagaimanapun, Pas dalam kenyataan balas menetapkan pendirian untuk terus bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu.
#Ahmad Samsuri Mokhtar #Zahid Hamidi #PRU15 #UMNO bergerak solo