PRU15: Pas tangguh rundingan sementara UMNO selesaikan masalah dalaman - Abdul Hadi

Nur Fazlizai Ali
April 16, 2021 13:58 MYT
ABDUL HADI: UMNO belum selesaikan masalah. Jadi, buat masa ini kita ambil peluang berunding dengan Bersatu dulu. - Gambar fail
MARANG: Pas tidak menghentikan rundingan pembahagian kerusi bersama UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sebaliknya, katanya, Pas hanya menangguhkan rundingan itu buat sementara bagi membolehkan UMNO menyelesaikan masalah dalaman parti itu terlebih dahulu.
Pada masa sama, kata Abdul Hadi, pihaknya masih mempunyai hubungan baik dengan parti terbesar Melayu itu.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, setakat ini Pas mengambil pendirian berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selagi kemelut UMNO tidak menemui kesudahan.
"Kita (Pas) tidak henti (rundingan pembahagan kerusi), cuma kita tangguh disebabkan UMNO tidak selesai masalah dia.
"Orang pun dia tukar menukar. Tukar orang ini, orang ini nak tukar pulak. Tidak tetap. Jadi, kita tunggulah.
"Buat masa ini kita ambil peluang (berunding) dengan parti Bersatu dulu lah," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah secara online di Masjid Rusila, pada Jumaat.
BACA: UMNO tak tahu jika rundingan kerusi dengan Pas ditangguhkan - Mohamad Hasan
BACA: Strategi Pas hadapi PRU15 tidak boleh didedah kepada umum - Takiyuddin
Abdul Hadi menjelaskan, rundingan dengan UMNO akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan dan hala tuju yang jelas tentang kerjasama dengan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.
Sebelum ini, media melaporkan Pas menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO bagi menghadapi PRU15 dan hanya menumpukan perbincangan dengan Bersatu.
BACA: PRU15: Tidak akan ada perbincangan kerusi Parlimen Terengganu dengan UMNO - Rosol
BACA: Pas tolak jajaran baharu - Abdul Hadi Awang
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik lain khususnya parti Melayu dan Islam.
"Majlis Syura membenarkan kita bekerjasama dengan semua parti-parti politik khususnya parti politik Melayu Islam dan parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem.
"Melayu yang liberal, kita akan tolak," katanya lagi.
#PAS #UMNO #Abdul Hadi Awang #Bersatu #rundingan #pembahagian #kerusi #pilihan raya umum #PRU15 #kerjasama politik #Melayu #politik #masalah dalaman
;