PRU15: Pas tangguh kerjasama dengan BN sebab masih ada 'kekeruhan' - Abdul Hadi

Astro Awani
Oktober 14, 2022 07:43 MYT
Abdul Hadi menyampaikan kuliah Dhuha bertajuk Selamatkan Diri dan Negara Bersama Kumpulan Islam di Pantai Kelulut, hari ini. - Foto BERNAMA
MARANG: Pas menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih terdapat ‘kekeruhan’ di dalam parti berkenaan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata antara kekeruhan itu ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai di dalam parti berkenaan.
Jelasnya selain itu terdapat juga sikap rakus dan tidak sabar untuk kembali memerintah.
“Kita tidak bersama dengan BN kerana ada kekeruhan, keruhnya masih ada penerima rasuah, lepas itu rakus nak memerintah lagi. Tak selesai masalah nak memerintah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Dhuha bertajuk Selamatkan Diri dan Negara Bersama Kumpulan Islam di Pantai Kelulut di sini pada Jumaat.
[TERKINI] PRU15 | BN masih 'keruh', punca Pas tangguh kerjasama
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Pada Khamis, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.
Menerusi satu kenyataan, Abdul Hadi berkata, kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.
Selain itu parti Pas turut mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah.
#bubar parlimen #Abdul Hadi Awang #PRU15 #tangguh kerjasama BN