PRU15: Pas semakin diterima baik di negeri Perlis- Mohd Shukri

Abd Hadi Che Awang
November 13, 2022 10:55 MYT
Shukri berharap agar sokongan itu terus berkekalan sehingga 19 November depan bagi menjayakan harapan PN merampas pentadbiran negeri Perlis daripada Barisan Nasional (BN). - Fail
KANGAR: Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli menyatakan keyakinan bahawa penerimaan dalam kalangan rakyat di negeri itu ke atas parti Pas dan Perikatan Nasional (PN) sewaktu semakin meningkat ketika ini.
Menurut beliau, ia dibuktikan dengan pembukaan beberapa Unit Daerah Mengundi (UDM) di lokasi-lokasi 'sukar' seperti di Wang Kelian dan kawasan Felda sekitar Perlis.
Tambahnya, penambahan dari sokongan terhadap PN juga dilihat melonjak selepas penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat keputusan bertanding atas tiket parti berkenaan bagi mempertahankan kerusinya yang dimenangi sejak beberapa penggal yang lalu.
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
Sehubungan itu, Shukri berharap agar sokongan itu terus berkekalan sehingga 19 November depan bagi menjayakan harapan PN merampas pentadbiran negeri Perlis daripada Barisan Nasional (BN).
"Seingat saya, selama (saya) berada di dalam Pas, lebih daripada 30 tahun, kami susah hendak buka Unit Daerah Mengundi (UDM) di Wang Kelian, selalunya amat mencabar, tetapi (untuk waktu ini) apabila petugas turun di Wang Kelian (sudah) ada khemah (yang) siap (dipasang).
"Ini satu benda yang menjadi petanda yang (sangat) baik, begitu juga (di) tempat lain, khususnya di tiga atau empat Felda di Perlis, keadaan sama berlaku, kita harap ia bertahan sampai 19 November untuk pastikan kemenangan Perikatan Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika temubual khas bersama Astro AWANI di Seriab, Kangar pada Ahad.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: UMNO gantung Ketua Wanita Arau, Maran

Dalam perkembangan sama, Shukri mengharapkan usaha bagi menjalinkan kerjasama membabitkan Pas, UMNO dan Bersatu dapat digerakkan dengan lebih mantap selepas penyertaan Shahidan ke dalam PN.
Atas sebab itu, pihak Pas mengesahkan bahawa tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekas Ketua Bahagian UMNO Arau itu menyertai parti berkeaan namun segala tawaran dan sebagainya akan diputuslan di peringkat Pusat.
#PRU15 #Pesuruhjaya PAS Perlis #Mohd Shukri Ramli #Perikatan Nasional