PRU15: Pas rela jadi pembangkang daripada bekerjasama dengan BN - Abdul Hadi

Shuhada Abdul Kadir
November 15, 2022 12:52 MYT
Abdul Hadi berkata, Pas masih kekal dengan prinsip menolak pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah mahupun perjuangan sesebuah parti politik yang keruh. - Gambar fail
TANGGA BATU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu lebih rela menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Pas masih kekal dengan prinsip menolak pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah mahupun perjuangan sesebuah parti politik yang ‘keruh’.
“Kita sanggup jadi pembangkang (kerana) Pas jadi pembangkang berpuluh-puluh tahun tidak jadi masalah dan kita tidak mahu kerajaan yang tak bersih.
“(Pas) masih sama, kita berprinsip dan kita bukan parti yang hanyut. Kalau (pemimpin) yang bersih itu lain cerita dan (kerjasama) itu akan kita lihatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Santai Bersama Presiden Pas di Taman Desa Cheng Perdana di sini, pada Selasa.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: SPR keluarkan 365,686 kertas undi pos
SEMAK SENARAI CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Dalam pada itu mengulas laporan mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN selepas PRU15, jelasnya keputusan itu dibuat parti sebelum Parlimen dibubarkan.
“Kenyataan berhubung kerjasama itu dibuat berdasarkan sebelum PRU dan (Parlimen) belum dibubarkan. Kita tunggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) buat perhimpunan ubah pemimpin UMNO (ketika itu).
“Malangnya tidak boleh buat (keputusan tukar pemimpin), pimpinan yang itu juga, itu yang jadi masalah. Jadi kenyataan diambil dan dibuat awal itu adalah berdasarkan kepada (senario) itu,” jelasnya.
Mengulas lanjut katanya, pilihan raya kali ini juga menyaksikan banyak pemimpin BN yang bersih dicantas dan itu sebab utama mengapa rakyat perlu menolak parti itu.
“Kita harapkan pemimpin bersih dalam BN yang mana masa itu kita andaikan UMNO buat perubahan pimpinan dan bila tidak berubah kita masuk (gelanggang) pilihan raya.
“Kita (PN) berusaha untuk menang sendiri tanpa bergabung dengan sesiapa untuk dapatkan majoriti mudah.
#PRU15 #PAS #kerjasama dengan BN #Abdul Hadi Awang