PRU15: Pas mampu menang di 22 kerusi DUN Kedah - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Ogos 14, 2022 10:30 MYT
Ogos 14, 2022 10:30 MYT
PADANG TERAP: Bukan 10, bukan 15, bukan 18, tetapi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mampu dimenangi Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Itu keyakinan yang disuarakan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika mengulas mengenai kemampuan parti itu dalam mempertahankan 15 kerusi DUN sedia ada yang dimenangi dalam PRU sebelum ini.
Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan berdasarkan asas bahawa Pas mendapat sokongan padu dari rakyat negeri Jelapang Padi itu dan berada pada keadaan yang kuat ketika ini.
"Saya (yakin kita) akan tambah jadi 22 (kerusi DUN). Paling kurang, 22 (DUN) boleh menang. Asasnya ialah, Pas tengah kuat di Kedah ini,
"Harimau yang kena tembak sedas, (dia akan) rebah. Lepas itu, dia nak bangkit, dia sudah tak sekuat dulu. (Itu) kalau dia nak lawanlah. Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kekuatan kita.
"Kalau dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu, (sudah) ada peluru dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga, empat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Himpunan Pelancaran Jentera PRU15 Pas Kedah di SRITI Naka, pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan akan menunggu keputusan dari Pas Pusat berhubung apa-apa perkara berkaitan pembubaran DUN negeri itu termasuk sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
"Saya tunggu keputusan Pas Pusat. Keputusan saya (sebagai kepimpinan di Kedah adalah) bergantung kepada keputusan Pas Pusat, (kita sememangnya berada di) jalan yang sama," tambahnya.
Untuk rekod, di Kedah, Pas memiliki kerusi DUN tertinggi dengan 15 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi manakala UMNO/Barisan Nasional, dua kerusi.
Di pihak pembangkang pula, PKR memiliki lima kerusi DUN, diikuti Parti Amanah Negara (4 kerusi DUN), DAP dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), masing-masing dua kerusi DUN.