PRU15: Pas akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara

Hafizi Rosli
Oktober 22, 2022 15:41 MYT
Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengesahkan akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Astro AWANI
MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengesahkan akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun angka sebenar masih belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses rundingan bersama komponen Perikatan Nasional (PN).
“Insya-Allah, Pas akan bertanding di lebih 60 kerusi Parlimen pada PRU15 ini.
“Namun angka sebenar belum muktamad kerana masih dalam proses rundingan (bersama PN),” jelasnya dalam ucapan ketika melancarkan Markas Besar Parlimen Marang, Terengganu pada malam Sabtu.
Jelas Abdul Hadi, sebelum seseorang individu itu dinamakan sebagai calon, Pas terlebih dahulu akan menyaring akhlak dan amal ibadah individu berkenaan.
Katanya, senarai nama itu akan dikemukakan ke Majlis Syura Ulama bagi tujuan saringan, sebelum nama mereka diangkat sebagai wakil Pas di sesuatu kawasan.
“Setiap calon itu akan disaring akhlak dan amal ibadah dan sekiranya diluluskan majlis, barulah boleh jadi calon nanti,” jelasnya.
Pas merupakan parti komponen dalam PN bersama beberapa parti lain termasuk Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Pada Sabtu, PN dilapor akan meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen seluruh negara, termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada PRU15.
#PAS #PRU15 #kerusi Parlimen #Abdul Hadi Awang