PRU15: Parlimen dibubar selepas Wanita BN lengkapkan kajian sikap - Ismail Sabri
Hasimi Muhamad
Ogos 14, 2022 16:10 MYT
Ogos 14, 2022 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi jaminan akan membubarkan Parlimen selepas memperoleh hasil kajian sikap yang dijalankan oleh Wanita Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata, kajian tersebut penting bagi mengetahui kekuatan parti gabungan tersebut khususnya melibatkan pengundi putih, sebelum mereka memasuki 'medan perang'.
Naib Presiden UMNO itu menambah, perbincangan akan dilakukan oleh pemimpin tertinggi parti atau 'Top 5' UMNO sebaik sahaja kajian sikap tersebut dilengkapkan.
"Untuk mengetahui sejauh mana kemampuan kita untuk menang atau kalah adalah berdasarkan kajian sikap yang dibuat oleh Wanita.
"Wanita UMNO telah pun melakukan setiap kali pilihan raya, dan kali ini saya minta supaya Wanita komponen juga, bersama-sama Wanita UMNO untuk buat kajian sikap.
"Sebab kita tahu setiap kawasan pilihan raya terutamanya di pantai barat, Pahang dan sebagainya merupakan pengundi campur (pelbagai kaum).
"Mungkin di Kelantan dan sebagainya hampir 100 peratus pengundi adalah Melayu tetapi kalau di negeri lain pengundi bercampur. Kalau setakat mendapat kajian sikap UMNO semata-mata, mungkin tidak mencukupi," katanya dalam sidang akhbar di selepas berucap pada Konvensyen dan Pelancaran Jentera Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, penting untuk mendapatkan data sebenar mengenai pengundi daripada pelbagai kaum dan ia tidak hanya melibatkan kajian sikap daripada penyokong BN sahaja.
Jelas Ismail Sabri, dianggarkan 30 peratus daripada jumlah pengundi merupakan penyokong BN.
"Bermakna perlu juga untuk kita mendapatkan sokongan daripada pengundi yang bukan penyokong (BN).
"Jadi kita perlu dapatkan kajian melibatkan pengundi-pengundi lain juga, baru kita boleh tahu secara menyeluruh kita boleh menang atau tidak. Setelah mendapat kajin tersebut saya yakin untuk membubarkan Parlimen untuk pilihan raya," ujarnya.