PRU15: Papan iklan "ayor bukan ayaq" dinaikkan di pekan Tambun
Ridauddin Daud
Oktober 22, 2022 18:41 MYT
Oktober 22, 2022 18:41 MYT
TAMBUN: Kerusi Parlimen Tambun secara tiba-tiba menjadi tumpuan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di kawasan tersebut.
Penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilihat memberi respons segera, serta sempat berseloroh mengatakan penduduk Tambun menyebut perkataan air sebagai 'ayor', dan bukannya 'ayaq' - merujuk kepada Anwar yang berasal dari Pulau Pinang.
Menariknya, sehari selepas Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut, satu papan iklan, memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan "Ayor bukan ayaq" dinaikkan di pekan Tambun.
'Usikan' sebegitu sebenarnya secara tidak langsung memberi isyarat bermulanya gelanggang pilihan raya, bukan sahaja di Tambun malah di seluruh Malaysia.
Bagi beberapa penduduk Tambun yang ditemui, mereka mengakui sedikit teruja apabila kawasan mereka menjadi lokasi tumpuan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tan Yan Kuan, 24, yang pertama kali mengundi mengakui seronok apabila Parlimen Tambun dilabel sebagai kerusi panas.
"Rasa seronok jugalah bila pertama kali mengundi dan ada kerusi panas.
"Tapi apa pun kita harapkan wakil rakyat nanti bantu selesaikan masalah terutamanya masalah tanah yang berbangkit di sini.
"Selain itu, nasib anak muda juga perlu diberi perhatian supaya kita tidak mencari kerja di luar, hanya kekal di Tambun," katanya kepada Astro AWANI.
Pekebun limau Tambun, Tan Swee Keong pula mengakui terkejut apabila mendapat berita Anwar bakal bertanding di kawasan itu.
"Bila dapat tahu, memang terkejut juga dan ada juga rasa seronok.
"Harap Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat tepati apa dikatakan beliau (bertanding di Tambun)," ujarnya.
Bagi peniaga, M Gopal, siapa pun yang bertanding seolah-olah idak membawa makna kerana sebagai rakyat, hidupnya tetap sama, perlu mencari wang sebaiknya saban hari.
"Siapa pun, sama sajalah. Saya hari-hari kena kerja, kena cari duit juga untuk keluarga," katanya.
Kerusi Parlimen Tambun diramal panas kerana setakat ini, seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden dilaporkan sedia berentap di kerusi tersebut.