PRU15: Ongkili gariskan lima fokus bantu Kota Marudu keluar daripada kemiskinan

Abdul Hafiz Mustadi
November 13, 2022 19:31 MYT
Ujar Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, lima fokus tersebut meliputi pendidikan, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan, dan menara telekomunikasi.
KOTA MARUDU: Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili menggariskan lima fokus utama dalam membangunkan daerah itu sebagai aspirasi beliau pada lima tahun akan datang sekiranya berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut.
Ujar Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu, lima fokus tersebut meliputi pendidikan, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan, dan menara telekomunikasi.
“Untuk lima tahun sudah tentu kita mahu Kota Marudu maju dari sudut infrastruktur asas. Asas infrastruktur ada lima iaitu yang pertama adalah jalan raya, bekalan air dan elektrik, pendidikan, kesihatan, dan yang kelima menara untuk teknologi digital.
“Ini merupakan keutamaan kami dalam (perjuangan) MA63 apabila bercakap mengenai infrastruktur iaitu lima perkara ini. Soal pendidikan, sekolah-sekolah, soal kesihatan, klinik-klinik desa, menaik taraf hospital tempatan dan tentu sekali menara telekomunikasi.
“Ini antara visi yang akan kita laksana untuk memimpin Kota Marudu keluar daripada kemiskinan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Kirangawan, Kota Marudu pada Ahad.
Mengulas mengenai persaingan enam penjuru di Parlimen Kota Marudu, Ongkili berkata sentimen pengundi di DUN Matunggong, DUN Tandek, dan DUN Bandau masih memihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdasarkan kehadiran penyokong di markas selain analisa di peringkat akar umbi.
“Dari sentimen yang kita tengok masih memihak kepada GRS. Dari sudut sokongan akar umbi. Daripada tiga DUN ini Matunggong, Tandek dan Bandau secara keseluruhannya masih majoriti memihak kepada calon GRS termasuk kehadiran dan juga analisa di peringkat akar umbi.
Untuk rekod, Ongkili pada PRU15 berhadapan dengan persaingan enam penjuru melibatkan Datuk Wetrom Bahanda (Parti KDM), Shahrizal Denci (MUDA), Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Mohd Azmie Zulkiflee (Pejuang), dan Norman Tulang (Bebas).
#kemiskinan #Kota Marudu #Maximus Ongkili #PRU15 #Malaysia Memilih
;