PRU15: Nik Omar Nik Abdul Aziz bertanding di Perak, bawah kuota PKR - Anwar
Firdaus Azil
Oktober 26, 2022 15:44 MYT
Oktober 26, 2022 15:44 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sah akan meletakkan Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai salah seorang calon di bawah kuota parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, Nik Omar akan mewakili PH untuk salah sebuah kerusi Parlimen di Perak.
Katanya lagi, senarai penuh kerusi yang ditandingi wakil PKR di bawah Pakatan Harapan, akan diumumkan pada 28 Oktober ini.
“Seterusnya ialah Al-Fadil Ustaz Nik Omar merupakan tokoh yang sangat dihormati, dari keluarga yang ulama yang sangat dihormati, dalam zaman ini ramai yang tak boleh menyaingi kasih rakyat seperti Nik Aziz.
“Beliau (Nik Omar) dengan sendirinya merupakan seorang ilmuwan agama, pendakwah disegani, beliau tentunya difahami sebagai anak kepada mantan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tuan Guru dan pernah bertugas sebagai YDP YADIM. Al Fadil Ustaz akan bertanding di Perak,” katanya dalam majlis pengumuman tersebut.
Astro AWANI sebelum ini memetik sumber sebagai berkata, Nik Omar merupakan antara pemimpin politik Amanah, yang dihubungi Anwar secara terus, dan ditawarkan sebagai calon kerusi Parlimen.
Untuk rekod, Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, namun tewas kepada calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood.
“Pepatah Arab ada menyebut, semua jalan menuju ke Mekah, jadi ada yang jalan darat, ada yang jalan jauh, ada ke udara. Yang penting kita dalam satu PH, keberadaan ambo (saya) di sini untuk menunjukkan komitmen, tentang konsisten kita untuk bawa kerajaan yang berpaksi kepada keadilan,” kata Nik Omar ketika ditanya mengenai status keahliannya dalam Amanah.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau telah menyampaikan pandangan tentang Nik Omar bertanding di bawah PH kepada pimpinan Amanah, namun enggan mengulas lanjut.
“(Status keahlian Nik Omar) belum berbangkit, sebab kita telah menyampaikan pandangan kepada Amanah, jadi isu itu tidak berbangkit sekarang. (yang penting) kita bertanding bawah PH,” katanya lagi.