PRU15: Nik Omar bakal sertai PKR?

Vivi Sumanti
Oktober 26, 2022 14:46 MYT
Nik Omar Nik Abdul Aziz yang juga anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipelawa oleh Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Langat pada PRU15. - Gambar fail
KOTA BHARU: Nik Omar Nik Abdul Aziz yang juga anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan bakal menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sumber dalaman Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, Nik Omar, 57, yang sebelum ini merupakan Ahli Jawatankuasa Amanah peringkat Pusat dan negeri Kelantan itu dihubungi dan ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ya benar dakwaan tersebut. Nik Omar dihubungi sendiri oleh Datuk Seri Anwar dan katanya kerusi Kuala Langat atas tiket PKR," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.
Nik Omar sebelum ini pernah bertanding atas tiket Amanah pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka namun tewas kepada calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood.
Kerusi DUN Cempaka merupakan kerusi tradisi yang diwakili Allahyarham ayah beliau.
Dalam masa sama, Astro AWANI juga difahamkan, seorang lagi pemimpin dari Amanah, Datuk Husam Musa turut dihubungi oleh Anwar.
"Husam antara yang dihubungi oleh Datuk Seri Anwar, namun tidak dapat maklumat sama ada menyertai PKR dan ditawarkan kerusi luar Kelantan," jelas sumber itu lagi.
#PRU15 #Nik Omar sertai PKR #Anwar Ibrahim #Calon PRU15
;