PRU15: Negara lebih stabil jika Pas tadbir - Nik Abduh
Sinar Harian
November 16, 2022 07:20 MYT
November 16, 2022 07:20 MYT
KOTA BHARU: Pentadbiran negara akan menjadi lebih stabil sekiranya Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rekod bersih dan bebas rasuah membuktikan parti itu mampu mentadbir dengan baik sebagaimana yang ditunjukkan semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, kebanyakan kes rasuah yang dilemparkan kepada Pas bersifat tohmahan semata-mata.
"Tohmahan itu gagal dibuktikan secara jelas menerusi pendakwaan di mahkamah," katanya semasa berceramah di Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh di sini pada Rabu.
Menurut beliau, perkara tersebut turut dibuktikan oleh Pas selama 32 tahun mentadbir Kelantan.
"Rekod bersih itu meletakkan Pas menjadi parti bersih dan bebas dari rasuah," ujarnya.
Tambah beliau, bagaimanapun BN, PKR dan DAP yang merupakan parti besar di negera ini terpalit dengan isu rasuah sehingga ada pendakwaan di mahkamah.
"Komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) bebas daripada kes rasuah.
"Jika rakyat Malaysia memilih PN pada PRU15 Sabtu ini, komponen itu mampu mentadbir negara dengan lebih baik," katanya. -Sinar Harian