PRU15 musim banjir beri kelebihan kepada UMNO? Apa rasionalnya? - Tajuddin
Amirrul Rabbani
September 23, 2022 21:50 MYT
September 23, 2022 21:50 MYT
IPOH: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan kenyataan pihak yang mendakwa sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir ia akan memberi kelebihan kepada UMNO.
Malah, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu turut mempersoalkan rasional di sebalik kenyataan tersebut.
“Saya tak tahu sama ada ia akan beri kelebihan atau tidak. Ini kerana pada saya apabila sampai PRU15 nanti, kita akan buat yang terbaik untuk dapat undi.
“Kita tidak boleh kata ‘kalau hujan atau banjir nanti, kita akan lebih (dapat undi)’. Lebih (undi) dari segi macam mana?
“Kepada yang bercakap atau berhujah begitu kita mahu tanya kepada dia, apa dia punya rasional (atas hujahan begitu)?" katanya.
Beliau berkata demikian pemberita ketika sesi beramah mesra bersama media di sini, pada Jumaat.
Tajuddin terdahulu ditanya pemberita berkenaan tuduhan terhadap kepimpinan UMNO yang mahukan PRU15 didadakan segera walaupun ia berlaku pada musim banjir.
Antaranya Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang mendakwa tindakan itu merupakan helah bagi memastikan tidak ramai pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Malah, Mukhriz dilaporkan berkata pilihan UMNO untuk mengadakan PRU15 dalam musim tengkujuh ini adalah kerana parti itu sedar bahawa peluang mereka untuk menang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata pengundi pada pada PRU15, seharusnya tidak termakan dengan ‘hasutan’ pembangkang, sebaliknya mereka perlu membuat penilaian berdasarkan rekod prestasi.
Katanya ini kerana UMNO yang bersama dalam gabungan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membawa kemajuan kepada negara berbanding pembangkang yang disifatkan sebagai ‘langit dan bumi’.
“Misalnya Rafizi (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli), kalau saya saya komen (semua tuduhan dia kepada parti) tidak terjawab dia nanti.
“Apa Rafizi sudah buat? Apa jasa dia sebagai ahli politik selama ini kepada bangsa dan negara? Sebaliknya hanya menghasut sahaja,” ujarnya lagi.
#PRU15
#musim banjir
#pilihan raya
#Ahli Parlimen Pasir Salak
#UMNO
#Tajuddin Abdul Rahman
#musim tengkujuh
#monsun