PRU15: Munirah Majilis calon Warisan di Kota Belud
Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 23, 2022 16:19 MYT
Oktober 23, 2022 16:19 MYT
KOTA BELUD: Isnaraissah Munirah Majilis dijangka memikul tugas berat setelah diumum bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU15.
Hal ini kerana Munirah dijangka berdepan calon 'heavyweight' seperti Datuk Seri Salleh Said Keruak atau Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan daripada Barisan Nasional.
Bagaimanapun bagi Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, beliau yakin Munirah calon boleh menang di parlimen itu atas semangat, kebolehan dan tahu akan perjuangan untuk negara serta rakyat Sabah.
"Jadi kita yakin untuk menampilkan Munirah sekali lagi di Kota Belud yang mana beliau juga seorang anak muda dan sangat sesuai untuk meraih sokongan golongan itu.
"Bukan itu sahaja, Munirah yang lantang di Dewan Rakyat kita lihat mengangkat golongan wanita. Semua kriteria ini kita lihat dan Warisan yakin beliau adalah calon boleh menang di Kota Belud," katanya pada Jelajah Warisan di Kota Belud pada Ahad.
Pada PRU14, Munirah yang bertanding atas tiket Warisan menang dengan majoriti 4,262 undi menewaskan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN) dalam pertembungan empat penjuru.