PRU15: Mungkin masanya ganti kerusi Parlimen Pekan milik Najib - Penganalisis
Astro Awani
September 3, 2020 13:30 MYT
September 3, 2020 13:30 MYT
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin boleh dijadikan pentas untuk menggantikan kerusi Parlimen Pekan milik Datuk Seri Najib Tun Razak dengan muka lain demi masa depan UMNO sendiri.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Muhammad Fuad Othman bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada kepimpinan parti itu sendiri untuk menggantikan individu lain termasuk anak Najib sendiri jika dirasakan sesuai.
Menurut beliau, Presiden UMNO mempunyai kuasa untuk menentukan tawaran itu terus diberikan kepada Najib atau sebaliknya.
"Saya rasa secara logiknya Najib akan terus bertanding di Pekan, tetapi mungkin ini masa memberi laluan kepada muka baharu diletakkan di situ.
"Ada juga di dalam UMNO yang mahukan Najib terus menjadi Ahli Parlimen. Ada pemimpin lama yang mahu Najib terus menjadi wakil rakyat, namun itu bergantung sepenuhnya kepada presiden parti itu sendiri.
"Namun, ia harus juga dilihat dari pelbagai faktor termasuk keputusan akhir kesnya apabila dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, tinjauan badan penyelidik Merdeka Centre mendedahkan enam daripada 10 pengundi Melayu bersetuju dengan keputusan bersalah yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib.
Merujuk kepada keputusan mahkamah dalam kes SRC International Sdn Bhd itu, sebanyak 61 peratus responden bersetuju manakala 18 peratus tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dengan 57 peratus responden Melayu bersetuju.
Sementara, 74 peratus responden berbangsa Cina bersetuju dengan keputusan mahkamah tersebut manakala 63 peratus responden India juga memberikan persepsi yang sama mengenai perkara tersebut.
Mahkamah Tinggi sebelum ini mendapati Najib bersalah atas tiga pertuduhan kesalahan pengubahan wang haram, tiga pertuduhan kesalahan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana salah guna kuasa, dan masing-masing 10 tahun untuk enam kesalahan lain; yang semuanya akan dijalankan serentak, menjadikan tempoh sebenar bagi kesemua kesalahan adalah 12 tahun.
Hakim juga mengenakan denda terhadap Ahli Parlimen Pekan itu sebanyak RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa.
Dalam pada itu, kata Dr Muhammad Fuad, sokongan yang diterima Najib di media sosial mungkin menjadi bayangan bekas Perdana Menteri itu masih diperlukan rakyat di dalam pentas politik negara.
"Pasti ada faktor pemilihan Najib (menjadi Ahli Parlimen) bergantung kepada popularitinya sendiri (di media sosial).
"UMNO perlu jadi relevan dan memikirkan kembali apa sahaja kesan yang mungkin boleh terjadi jika mengambil semula 'orang lama' di dalam parti," katanya.
Kajian Merdeka Center itu turut mendapati 69 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menurut kajian berkenaan, sembilan daripada 10 orang Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memuji Muhyiddin manakala 65 peratus orang India dan 33 peratus orang Cina turut berpuas hati dengan prestasi beliau.
Kajian itu juga mendapati wujud kecenderungan serupa dalam penilaian awam terhadap kerajaan Persekutuan dengan 58 peratus pengundi gembira dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala 28 peratus tidak berpuas hati.
#Amanah
#Bumiputera
#Cina
#haram
#Melayu
#Merdeka
#Muhyiddin Yassin
#Najib Razak
#penjara
#rakyat
#SRC International
#UMNO