PRU15: Muncul sebagai calon luar bukan satu masalah - Hasni

Hilmi Malik
November 5, 2022 13:54 MYT
Pengalaman sepanjang menjadi wakil rakyat di Pontian tidak akan menjadi penghalang buat Hasni bawa pengaruh Simpang Renggam.
SIMPANG RENGGAM: Hadir sebagai seorang calon luar bukan satu masalah buat calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad untuk berentap di Simpang Renggam.
Jelas Pengerusi BN Johor itu lagi, faktor pengalaman sepanjang menjadi wakil rakyat di Pontian tidak akan menjadi penghalang buat beliau untuk membawa pengaruh undi di kerusi berkenaan.
Malah kata Hasni lagi, beliau turut akan menumpukan soal pembangunan infrastruktur di kawasan itu yang memerlukan perubahan.
“Saya amat yakin bahawa apa jua isu yang berbangkit tidak menjadi satu kekangan untuk kita kemukakan penyelesaian dan penambahbaikan di kawasan Simpang Renggam khususnya.
“Saya difahamkan infrastruktur perlu kita tambah baik di kawasan ini (Simpang Renggam) termasuk soal bekalan air bersih di beberapa kawasan yang selalu terjejas akibat pencemaran,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengumuman calon Simpang Renggam pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Hasni yang juga bekas Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pihaknya akan cuba berusaha keras untuk memancing undi di kawasan terbabit.
Bahkan pergerakan beliau ke Simpang Renggam itu juga boleh dianggap ‘bonus’ terhadapnya susulan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Simpang Renggam kini milik BN.
Ini termasuk kerusi DUN Machap yang ketika ini dipegang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Insya-Allah kita akan tetap bekerja keras kerana saya tidak melihat mana-mana calon sebagai saingan mudah dan perlu atur segala gerak kerja kempen supaya dapat bertemu seramai mungkin pengundi.
“Kita (BN) mungkin tidak bermula dari kosong, kita sudah ada dua DUN dan saya kira ini sebagai satu permulaan yang sangat baik,” ujarnya lagi.
#PRU15 #Hasni Mohammad #Pontian #Simpang Renggam
;