PRU15: Mukhriz tidak tolak Pejuang letak calon di Parlimen Titiwangsa
Hasimi Muhamad
Mei 29, 2022 20:04 MYT
Mei 29, 2022 20:04 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menolak kemungkinan akan meletakkan calon bagi merebut kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kerusi tersebut ketika ini disandang oleh Datuk Seri Rina Harun, yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14 selepas mengalahkan penyandang sebelum itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa mendapat maklumat Rina tidak menunjukkan prestasi yang baik sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.
"... saya dengar (Rina) tak datang jumpa penduduk pun lagi, tak buat kerja... Jadi ura-ura nampaknya macam dia nak pindah ke tempat lain," katanya kepada pemberita, di sini pada Ahad.
Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun sebelum itu hadir membuat pertemuan dengan penduduk dan waris Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini.
Rina ketika ini merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, Pejuang akan mempertahankan semua kerusi yang pernah dimenangi sebelum ini termasuk di Langkawi.
Pejuang juga tambahnya, setakat ini belum memuktamadkan senarai calon yang bakal dikemukakan pada PRU15.
Berhubung agihan kerusi pula, Mukhriz berkata parti itu mengambil iktibar daripada kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dan akan 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kekuatan kira macam mana dari segi keahlian, dari segi jentera, calon yang terbaik dan kesesuaian untuk kita bertanding di satu-satu kawasan.
"Jadi, itu sedang dipertimbangkan, dan dari segi jumlahnya belum kita tetapkan lagi tetapi yakinlah ianya akan jadi satu jumlah yang kita rasa setimpal dan sesuai dengan sebuah parti seperti kami ini," jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, Mukhriz mengulangi pendirian bahawa Pejuang bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang selari dengan prinsip mereka termasuk menolak kleptoktasi.
"Saya akui bahawa kita di sebalik tabir memang berjumpa dengan banyak parti baik kerajaan, mahupun pembangkang dan yang bukan kedua-duanya.
"Parti yang sebelum itu tak bertanding pun, dan kita cuba cari di mana titik-titik persamaan di mana kita boleh bersama menghadapi PRU," katanya.