PRU15: Muhyiddin umum PN menang, alukan parti lain untuk bentuk kerajaan kecuali PH
Hafizi Rosli
November 19, 2022 03:38 MYT
November 19, 2022 03:38 MYT
SHAH ALAM : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa gabungan itu menang dan menyatakan keyakinannya untuk membentuk kerajaan.
Katanya, ia selepas gabungan itu memenangi 73 kerusi Parlimen dengan bergabung bersama parti-parti lain kecucali Pakatan Harapan (PH).
Jelas Muhyiddin, pihaknya akan berbincang bersama kepimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat dan berharap agar ia dapat dimuktamadkan sebelum petang Ahad.
“Bagi tujuan pembentukan kerajaan, saya akan berbincang bersama kepimpinan parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.
“Demi menjamin kestabilan, PN juga mengalukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerjaan yang prihatin, bersih dan stabil,” jelasnya ketika sidang media di Pusat Media Utama PN, di Shah Alam pada pagi Ahad.
Jelasnya, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti-parti lain yang sehaluan, tumpuan utamanya adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen.
Jelasnya beliau juga berharap dapat mewujudkan situasi politik yang stabil apabila kerajaan dibentuk kelak.
“Dengan PN mengetuai kerajaan, kita berharap dapat mewujudkan situasi politik yang paling stabil.
“Ini bermakna kita perlu ambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti lain yang kalau mereka sehaluan dan bersedia untu terima dasar-dasar yang akan diketuai PN, kita akan pertimbangkan dengan secara teliti,” jelasnya.
Ditanya pemberita sama ada PN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: "Tidak, tidak bersama PH,”.
Turut hadir dalam sidang media berkenaa adalah Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta beberapa kepimpinan tertinggi parti komponen Bersatu, Pas dan Gerakan.