PRU15: Muhyiddin sedia sahut cabaran debat antara calon PM
Hilmi Malik
Oktober 28, 2022 20:28 MYT
Oktober 28, 2022 20:28 MYT
PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan mana-mana calon Perdana Menteri parti lain sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada cabaran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar semua calon Perdana Menteri berdebat sebelum pilihan raya berkenaan berlangsung.
Tambah Muhyiddin, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk berdepan dengan cabaran berkenaan sekiranya tidak melibatkan sebarang perkara negatif.
"Saya tiada masalah untuk debat atau dialog. Kalau penganjur jemput secara rasmi, (debat) itu sesuai, tidak timbul reaksi tidak elok dan dibuat secara adil, saya tiada masalah," katanya ketika sidang media selepas sesi ramah mesra bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong di sini, pada Jumaat.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, isu melibatkan ekonomi dan pendidikan antara perkara yang boleh dibincangkan dalam debat berkenaan.
Tegasnya, tujuan mengadakan debat mestilah berlandaskan isu-isu yang mendatangkan manfaat untuk negara.
Selain daripada Anwar yang menjadi calon Perdana Menteri PH, dan Muhyiddin (Perikatan Nasional), antara calon Perdana Menteri yang lain termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Barisan Nasional).
Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera sebelum ini menolak cabaran tersebut, dan menyifatkannya tidak membawa sebarang manfaat.
Pada 19 Oktober lalu, semasa berucap di Temerloh, Pahang, Anwar yang juga Presiden PKR mengemukakan cadangan agar tiga calon Perdana Menteri yang bertanding dalam PRU15 itu ditemukan dalam acara debat.