PRU15: MUDA umum calon terakhir pada Khamis
Siti Nur Aqilla Omar
November 2, 2022 00:53 MYT
November 2, 2022 00:53 MYT
MUAR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengumumkan seorang lagi calon yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), pada Khamis.
Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, calon terakhir itu akan diumumkan menerusi satu kenyataan media.
"MUDA ada lagi satu lagi calon, tetapi calon itu kita akan umumkan menerusi kenyataan esok (Khamis)," katanya pada sidang media selepas mengumumkan Presiden parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai calon kerusi Parlimen Muar.
MUDA, pada minggu lalu mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di kubu kuat BN, iaitu Danial Abd Majeed (Kepala Batas, Pulau Pinang), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang, Selangor) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai, Johor).
Jelas Amira Aisha, selepas ini MUDA akan fokus kepada gerak kerja yang seterusnya termasuk melancarkan jentera di kawasan yang ditandingi parti itu.
"Pada hari esok (Khamis) MUDA akan melancarkan bilik gerakan dan jentera di Tanjung Piai, Tanjung Karang dan tempat-tempat lain yang MUDA akan bertanding.
"Hari pernamaan calon sudah hampir, jadi kita akan fokus untuk turun ke lapangan secepat mungkin berjumpa dengan seberapa ramai rakyat dan mempromosikan calon-calon MUDA yang bertanding," katanya.
Dalam pada itu, Presidennya, Syed Saddiq memaklumkan semua calon MUDA perlu melakukan proses mengisytihar aset sebelum hari penamaan calon.
Katanya budaya mengisytiharkan aset adalah penting untuk rakyat menilai calon telus dan ia adalah budaya politik sihat.
"MUDA termasuk saya sendiri kini dalam proses untuk memuktamadkan pengisytiharan aset serta akan umumkan dalam tempoh terdekat sebelum hari penamaan calon.
"Ini budaya baik dan sangat penting kerana rakyat boleh menilai sebelum dan selepas menyertai politik berapa jumlah aset yang ada pada setiap calon," katanya.
Pada PRU14, Syed Saddiq yang merupakan calon PH daripada Bersatu menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar ketika itu, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Abdul Aziz Talib (Pas) dengan majoriti 6,953 undi.
Syed Saddiq merupakan penyandang Parlimen Muar selama sepenggal dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan