PRU15: MUDA umum bertanding Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang, Tanjung Piai

Firdaus Azil
Oktober 29, 2022 22:31 MYT
Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) menjulang tangan Danial Abdul Majeed (tiga dari kanan) dan Lim Wei Jiet (tiga dari kiri) dalam sidang media pengumuman tiga calon pertama MUDA yang akan bertanding pada PRU15.
PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) malam ini mengumumkan tiga calon pertamanya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu bagi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.
Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, tiga kerusi Parlimen tersebut merupakan antara kerusi-kerusi Parlimen yang telah disepakati hasil rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) awal hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, pengumuman untuk kerusi-kerusi Parlimen seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat termasuk di Sabah.
“PRU ini adalah PRU sulung bagi MUDA. Ini kali pertama kami masuk ke dalam PRU dan kami bertekad untuk pastikan agar kita masuk dalam PRU ini dengan visi jelas untuk bersama-sama dengan rakan berideologi dan prinsip sama.
“Juga berita gembira, petang tadi, rundingan bersama PH telah dimuktamadkan. Hasil daripada rundingan tersebut, MUDA dan PH telah membentuk satu pakatan pilihan raya jelas untuk PRU15,” katanya lagi.
Tiga calon yang diumumkan ialah seorang jurutera pembuatan berusia 26 tahun, Danial Abdul Majeed (Kepala Batas), peguam dan dua pengasas bersama MUDA iaitu Lim Wei Jiet (Tanjung Piai), dan Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang).
Pencalonan ketiga-tiga pimpinan MUDA dalam pilihan raya ini adalah selaras dengan usaha MUDA untuk menampilkan pimpinan yang muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Malaysia.
“MUDA merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan pimpinan Pembangkang yang sentiasa menyokong iltizam politik MUDA untuk negara.
"Fokus MUDA pada PRU15 kali ini adalah untuk memastikan Malaysia kembali menjadi negara yang maju dan berjaya. Calon-calon MUDA yang lain akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan yang diedarkan selepas itu.
#PRU15 #muda #tiga kerusi Parlimen #Pakatan Harapan
;