PRU15: MUDA pertaruh Mutalib Uthman bertanding di Parlimen Tapah

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 30, 2022 15:14 MYT
Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH). - Facebook Mudalib Uthman
TAPAH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan akan mempertaruhkan Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman untuk bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, keputusan itu juga dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai status kerusi Parlimen Tapah dan Sungai di Perak serta Sembrong di Johor.
“Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan adalah kubu kuat Barisan Nasional yang kini disandang oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
“Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘MUDA melawan Menteri' sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi MUDA, saya, dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen Tapah ini,” katanya hari ini.
Menurutnya, setiap hari mengulang kenyataan bahawa beliau akan berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.
“Perjuangan yang lebih baik bermula dengan perlaksanaan kata-kata (walk the talk),” ujarnya.
#PRU15 #Parlimen Tapah #muda #Mutalib Uthman
;