PRU15: MUDA, Pakatan Harapan kerjasama hadapi GRS
Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 13, 2022 05:32 MYT
Oktober 13, 2022 05:32 MYT
KOTA KINABALU: Pertempuran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sabah semakin hangat susulan terbentuknya jalinan kerjasama di antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien, pembentukan kerjasama itu membolehkan MUDA dan PH berdepan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara berpasukan dalam PRU15.
Kerjasama itu juga, menurut beliau, akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
"Kedua-dua pihak memahami dan bersetuju, pembangkang bersatu adalah satu-satunya cara untuk menentang GRS.
"Perkongsian ini membolehkan MUDA Sabah dan PH Sabah bekerjasama rapat bukan sahaja pada PRU15 tetapi juga pada PRN Sabah ke-17," ujar Amos.
Beliau turut berkata, MUDA Sabah sedang mengintai beberapa kerusi Parlimen di negeri itu dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat bersama PH Sabah.
"MUDA Sabah mengintai beberapa kerusi Parlimen dan beberapa siri perbincangan sedang berjalan sekarang.
"Keputusan muktamad akan diumumkan oleh MUDA Sabah dan PH Sabah memandangkan kedua-dua parti mempunyai autonomi sendiri dalam perkara melibatkan negeri," tambahnya.
Dalam masa sama, kerjasama yang terbentuk di antara MUDA dan PH itu juga menurut Amos merupakan peluang untuk MUDA Sabah melakukan penampilan sulung di negeri itu.
Tambahnya, ia merupakan pengiktirafan kepada MUDA sebagai pesaing politik yang signifikan.
"Ini satu perkembangan yang baik dan tanda bahawa MUDA Sabah diiktiraf sebagai pesaing politik terutamanya apabila majoriti pengundi datang daripada pengundi muda dan kali pertama," kata Amos.
Terdahulu, Presiden PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan menjalinkan kerjasama di antara parti itu dan MUDA dalam PRU15.