PRU15: Mohamad Alamin ditentang empat pencabar di Kimanis
Mirlen Axtius
November 5, 2022 14:38 MYT
November 5, 2022 14:38 MYT
KIMANIS: Kerusi Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan; Parti Warisan Sabah; Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Pejuang.
Pegawai Pengurus Pilihan raya, Bakri Sudin mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 11 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Al-Ghazali SMKA Kimanis di sini, ditutup pada jam 10 pagi.
"Calon yang sah akan bertanding kerusi di Parlimen P.176 Kimanis adalah Mohamad Hj Alamin (BN), Dr Daud Yusof (Warisan), Yusop Osman (Pejuang), Rowindy Lawrence Odong (PH) dan Amat Mohd Yusof (KDM)," katanya di sini, hari ini.
Kehadiran Yusop Osman (Pejuang) turut mengejutkan para pengamal media yang sebelum ini menjangkakan Datuk Seri Anifah Aman akan menjadi pencabar di parlimen itu.
Media sebelum ini menyatakan kemungkinan Anifah mengintai peluang untuk bertanding kerusi di parlimen Kimanis pada PRU15 dengan tiket Parti Cinta Sabah (PCS).
Timbalan Presidennya, Datuk Ansari Abdullah berkata, mengambil kira desakan dan permintaan rakyat Sabah, beliau memberi jaminan parti itu hampir pasti bertanding di kerusi parlimen itu.
Bagaimanapun, Anifah tidak hadir pada hari penamaan calon.
Parlimen Kimanis pada PRU15 kali ini mempunyai 40,763 pengundi berdaftar.