PRU15: Misi berbeza dua calon wanita di Kedah
Abd Hadi Che Awang
November 10, 2022 12:52 MYT
November 10, 2022 12:52 MYT
SUNGAI PETANI: Kemeriahan dan bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November depan sudah pastinya tidak lengkap tanpa kehadiran calon wanita.
Menurut data yang dikeluarkan SPR, PRU15 bakal menyaksikan 127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen manakala 60 lagi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah.
Di Kedah, dua calon wanita yang ditemui Astro AWANI menyatakan bahawa mereka memiliki misi yang berbeza namun bergerak atas satu hasrat agar suara wanita dapat diangkat dengan lebih banyak di Dewan Rakyat.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff menyatakan dirinya membawa harapan besar parti berkenaan bagi merampas Parlimen yang dianggap sebagai 'kawasan hitam' atau kubu kuat PH itu.
Dengan matlamat untuk membawa perubahan baharu kepada masyarakat setempat, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani itu turut akan memberikan fokus kepada isu peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda, pembangunan kawasan separa bandar selain isu membabitkan sektor pendidikan.
"(Parlimen) Sungai Petani (ini) dia lain daripada yang lain, berbeza daripada Merbok walaupun satu daerah, kerana (daerah) Kuala Muda ada Merbok, Sungai Petani, tetapi pembangunan banyak dapat di Merbok, tetapi ramai tidak tahu.
"(Mereka) ingat Sungai Petani ada macam-macam pembangunan, saya bagi contoh Sekolah Sains Mohamad Jiwa, (poskod) 08000 Sungai Petani, alamat (di) Sungai Petani tetapi dia bukan dalam Parlimen Sungai Petani.
"Sesungguhnya dalam Parlimen Sungai Petani kita tidak ada pembangunan pendidikan, kita hanya ada kilang, kawasan industri sahaja yang banyak," katanya.
Sementara itu, bagi calon Pakatan Harapan Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip menyatakan bahawa turut berdepan cabaran bagi mempertahan kerusi Parlimen berkenaan.
Ini kerana, parti-parti yang bertanding untuk PRU15 adalah yang terbanyak pernah dicatatkan selain hampir kesemua parti itu menggunakan logo yang baharu.
Meletakkan isu suara wanita dan golongan belia sebagai teras utama kempen kali ini, beliau turut menyatakan bahawa kaedah penerangan perlu disesuaikan terutama dalam menarik minat golongan muda memandang mereka bakal menjadi penentu dalam PRU15 kali ini.
"Memang betul (fokus kempen selain golongan wanita) yang lain adalah anak muda, kerana kali ini memang kita melihat sendiri umur 18 hingga 20 tahun, 20 hingga 30 tahun, 30 hingga 40 tahun, jumlahnya sangat besar, jadi saya jangkakan lingkungan usia itu lebih 40,000 (pengundi), memang jumlah sangat besar.
"Memang perlu diberi penekanan yang khusus kepada mereka, saya juga dapat pandangan dari anak muda supaya saya aktifkan akaun media sosial seperti TikTok, Twitter dan sebagainya kerana katanya di situ letaknya anak muda, jadi saya kena usahakan untuk beradaptasi," katanya.
Untuk rekod, Shahanim bakal berdepan dengan saingan lima penjuru menentang calon daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Rakyat Malaysia.
Manakala, Azrina turut berdepan cabaran sama dimana akan berdepan calon daripada Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Warisan.
Di kerusi Parlimen negeri Kedah, seramai tujuh calon diketengahkan parti masing-masing yang mana kesemua mereka adalah mewakil Barisan Nasional (empat calon), Pakatan Harapan (dua calon) dan Parti Warisan Sabah (satu calon).