PRU15: MIC minta sekurang-kurang satu kerusi selamat di DUN
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 13, 2022 04:40 MYT
Ogos 13, 2022 04:40 MYT
IPOH: MIC meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peratus kemenangan tinggi untuk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia bagi membolehkan wakil masyarakat India itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri, seterusnya membantu masalah kaum berkenaan.
Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah lari dari berjuang bersama-sama UMNO di dalam BN sejak dari zaman kemerdekaan lagi.
"Di semua peringkat, di semua masalah, dari kemerdekaan, kita bersama-sama dengan parti induk Melayu - UMNO.
"Maka kita mengharapkan agar UMNO akan membuat perkara yang munasabah untuk kepimpinan MIC di peringkat negeri, supaya kita juga boleh mentadbir bersama kepimpinan BN," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan amanat semasa Konvensyen MIC Perak, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi MIC Perak Datuk V Elanggo
Menurutnya, permintaan mereka adalah munasabah dan mereka akan berjuang bersama-sama UMNO dan BN bagi menghadapi PRU15.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesahkan bahawa MIC akan bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan yang ditinggalkan Gerakan selepas parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN).