PRU15: 'Mengikat yang lama, memikat yang baharu', 'tagline' BN Terengganu

Bernama
November 6, 2022 05:45 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P.040 - Kemaman Datuk Seri Ahmad Said (kiri) beramah mesra bersama para peniaga di Pasar Binjai Kemaman. - Foto BERNAMA
CHUKAI: Barisan Nasional (BN) Terengganu memperkenalkan 'tagline' atau slogan 'mengikat yang lama, memikat yang baharu' pada pentas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said berkata 'tagline' itu adalah asas kepada misi pada PRU kali ini bagi memastikan pengundi-pengundi lama kekal menyokong UMNO dan BN selain menarik sokongan daripada golongan muda.
"Perkara ini perlu kerana kita tahu, kalau di Kemaman ini, hampir 30,000 pengundi yang pertama kali mengundi. Jadi kita harap mereka memahami perjuangan UMNO dan BN dalam membela rakyat selama ini.
"Apa yang kita perlukan hari ini adalah sebuah kerajaan yang stabil... kalau keadaan tidak stabil, pelabur tidak datang, tiada peluang pekerjaan. Ini beri kesan kepada golongan muda, jadi mereka perlu faham bahawa mereka perlu menyokong sebuah kerajaan yang stabil," kata Ahmad yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Kemaman.
Beliau berkata kepada Bernama selepas beramah mesra bersama warga penduduk setempat di Pasar Binjai dekat sini pada Ahad.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata berdasarkan rekod, hanya BN sahaja yang mampu mentadbir negara sebaik mungkin.
"Sebab itu kita tidak keluarkan janji-janji bombastik sebab kita berasas pada pengalaman, kewangan negara yang ada, dan kemampuan kita... sebab kita rancang (pembangunan) Malaysia lima tahun, lima tahun dan seterusnya," katanya.
Ketika ditanya mengenai tahap 'agresif' kempen BN pada PRU ini, Ahmad berkata kempen akan dilaksanakan secara sederhana.
"Kita akan berjumpa masyarakat seperti program hari ini, malam kita buat ceramah dan sebagainya. Itu sahaja kerana UMNO dan BN dah memerintah lebih 60 tahun lebih, boleh lihat rekod prestasi kita. Cuma kita minta (pengundi) jangan terpengaruh (dengan muslihat dan manifesto politik)," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 Nov.
-- BERNAMA
#PRU15 #Malaysia Memilih #Ahmad Said #tagline
;