PRU15: Megat Zulkarnain janji 30 peratus kuota UIAM untuk anak Gombak

Israr Khalid
November 8, 2022 07:10 MYT
Megat Zulkarnain berkata kewujudan UIAM itu sendiri adalah hasil perjuangan penduduk Gombak terdahulu. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kuota 30 peratus kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada anak Gombak yang layak sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih menjadi perwakilan kawasan itu.
Itu janji calonnya Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menegaskan bahawa keberadaan institusi pengajian tinggi itu di sini sepatutnya memberi limpahan manfaat kepada penduduk sekitarnya.
Menurut beliau, kewujudan UIAM itu sendiri adalah hasil perjuangan penduduk-penduduk Gombak terdahulu yang menghalang pembinaan empangan di situ supaya kampung sekitarnya tidak dihapuskan.
“Ini sejarah penting untuk rakyat Gombak tahu bagaimana terbinanya UIAM, ada beberapa orang yang memperjuangkannya masih lagi hidup dan ada yang telah kembali ke rahmatullah.
“Tapi dengan adanya kewujudan UIAM, anak Gombak tak dapat yang sepatutnya hasil daripada perjuangan orang-orang terdahulu,” katanya dalam program Agenda AWANI khas Malaysia Memilih pada Selasa.
Itu, tegasnya, menjadi perkara yang akan diutamakan sekiranya dipilih menjadi perwakilan untuk memastikan mana-mana anak jati Gombak yang melepasi merit kelayakan mesti diberi laluan khas masuk menuntut di universiti tersebut.
Ketika ini, ramai anak Gombak terpaksa menuntut jauh dari tempat asal mereka yang membawa kepada perbelanjaan yang lebih tatkala keadaan ekonomi yang mencabar dan dijangka akan meruncing pada tahun mendatang.
“Ini bukan dasar yang perlu dirombak, saya pernah jadi Senator jadi saya tahu, tapi satu kesefahaman yang perlu dibina antara Kementerian Pengajian Tinggi bersama Ahli Parlimen,” katanya.
Calon BN janji 30 peratus kuota kemasukan ke UIAM untuk anak-anak Gombak
#Malaysia Memilih #PRU15 #megat zulkarnain #UIAM
;