PRU15: MCA sokong penuh pencalonan Liow rampas kembali Parlimen Bentong

Bernama
Oktober 18, 2022 22:12 MYT
MCA menyokong penuh pencalonan bekas Ahli Parlimen Bentong Tan Sri Liow Tiong Lai untuk merampas kembali kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: MCA menyokong penuh pencalonan bekas Ahli Parlimen Bentong Tan Sri Liow Tiong Lai untuk merampas kembali kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.
Wee berkata pendirian serta sokongan itu dibuat bagi membolehkan Liow melaksanakan perancangan dan tugasan yang tergendala di Parlimen Bentong bagi memastikan kelangsungan pembangunan di kawasan berkenaan.
"MCA telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Liow sejak setahun setengah yang lepas dan beliau merupakan calon MCA paling layak untuk kawasan P089 Bentong," kata Wee dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.
Liow yang juga bekas Menteri Kesihatan pernah menyandang kerusi tersebut selama empat penggal sejak 1999 sebelum gagal mempertahankannya pada PRU14.
Pada PRU14, Liow tewas di tangan pencabarnya Wong Tack dari DAP dengan majoriti 2,032 undi.
Mengulas lanjut, Wee berkata kegagalan mempertahankan kerusi tersebut tidak menghalang Liow untuk terus berkhidmat di kawasan berkenaan.
"Liow tetap setia dan terus membantu warga Bentong sama ada ketika bencana banjir atau kebakaran di Karak. Beliau sentiasa berada di barisan hadapan membantu dalam usaha penempatan mahupun pembinaan semula untuk mangsa-mangsa," katanya.
Beliau berkata Liow juga bertungkus lumus mengumpul dana serta barangan keperluan bagi membantu rakyat di kawasannya ketika pandemik COVID-19.
"Ramai pengundi telah menyatakan keinginan yang kuat secara terbuka mahu Liow kembali menjadi wakil rakyat mereka memandangkan sumbangan besarnya terhadap Bentong selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen," kata Wee.
Sementara itu, Wee menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mahu DAP Bentong memastikan Liow tidak dapat merampas semula kerusi Parlimen Bentong sebagai angkuh dan tidak menghormati doktrin demokrasi.
-- BERNAMA
#MCA #PRU15 #Liow Tiong Lai #Parlimen Bentong
;