PRU15: MCA setuju tukar kerusi dengan MIC, tanding Parlimen Batu
Bernama
November 2, 2022 16:35 MYT
November 2, 2022 16:35 MYT
KUALA LUMPUR: MCA telah mencapai persetujuan melakukan pertukaran kerusi bersama MIC di Kerusi Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan.
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata persetujuan itu telah dicapai bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
"Mengikut persetujuan MCA menyerahkan kerusi Parlimen Padang Serai kepada MIC dan kerusi Parlimen Batu kekal milik kami.
"Semua ini adalah hasil perbincangan dengan Pengerusi BN. Kita perlu memperjelaskan situasi ini bagi menjernihkan kekeliruan yang berlaku," katanya pada sidang media khas di Wisma MCA di sini hari ini.
Dalam sidang media tersebut, Datuk Seri Yew Teong Look diumumkan sebagai calon kerusi Parlimen Batu.
Semalam, Datuk A Kohilan Pillay telah diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Batu pada pengumuman calon BN.
Pada PRU lepas kerusi Parlimen Batu dimenangi calon bebas yang disokong PKR, P Prabakaran dengan majoriti 24,438 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Dr Dominic Lau Hoe Chai dari Barisan Nasional (BN), calon PAS Azhar Yahya dan seorang lagi calon Bebas, Datuk V.M. Panjamothy.
Sementara itu, Wee berkata MCA menerima pertukaran wakil calon Parlimen Wangsa Maju dengan hati terbuka setelah dipersetujui oleh barisan pucuk pimpinan BN.
"Pertukaran itu bukan satu isu, kami mengikuti apa yang telah dibincangkan dan terima keputusan ini atas prinsip persabahatan dan akan bertungkus lumus bantu capai kemenangan bersama," katanya.
Pada PRU kali ini, kerusi Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini ditandingi MCA telah ditukar oleh pucuk pimpinan BN dengan meletakkan calon UMNO Shafie Abdullah.
Sementara itu, MCA mempertaruhkan 35 muka baharu daripada keseluruhan 70 calon yang akan bertanding pada PRU15.
Wee berkata seramai 44 calon bertanding bagi kerusi Parlimen manakala 26 calon adalah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Dalam kalangan 44 calon Parlimen ini, sebanyak 17 muka baharu dan tujuh wanita diperkenalkan. Malah dua calon kami adalah berumur bawah 30 tahun yang masing-masing mewakili Parlimen Ampang dan Parlimen Kulai.
"Ini adalah satu komposisi seimbang, 50 peratus pencalonan adalah wajah baharu yang akan berganding bahu dengan calon lain bagi memastikan kerja keras bersama parti komponen lain untuk meraih sokongan," katanya.
Wee berkata bagi bagi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menyaksikan 17 calon diperkenalkan di Perak, tujuh di Pahang dan dua di Perlis.
"Di peringkat DUN, seramai 18 muka baharu dan lima wanita telah diperkenalkan," katanya.
-- BERNAMA