PRU15: 'Masalah teknikal' didakwa punca BN tak umum calon Kuala Pilah, Jempol
Sinar Harian
November 2, 2022 12:37 MYT
November 2, 2022 12:37 MYT
SEREMBAN: Masalah teknikal dipercayai punca calon bagi Parlimen Jempol dan Kuala Pilah tidak diumumkan semasa Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam Selasa.
Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, pengumuman untuk kedua-dua calon berkenaan kemungkinan akan diumumkan esok.
"Saya difahamkan ada masalah teknikal sikit. Jadi kemungkinan akan diumumkan esok dan paling lewat pun sebelum Sabtu ini (penamaan calon)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Nama calon saya tak dapat ulas sebab masih di peringkat pusat, saya tidak dimaklumkan tentang perkara ini, jadi itu keputusan pusatlah macam mana," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan semua pihak terlibat supaya bersabar dan perlu akur apa sahaja yang akan diputuskan parti.
"Dalam keadaan hari ini kita kena bersabarlah dan akur apa juga keputusan yang telah dimuktamadkan parti.
"Sebagai jentera parti bekerjalah untuk kemenangan parti. Menerima keputusan dengan hati yang terbuka," katanya. -SInar Harian