PRU15: Mas Ermieyati sah pertahan Masjid Tanah

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 22, 2022 00:58 MYT
Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin disahkan bakal mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini. - Astro AWANI
MASJID TANAH: Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin disahkan bakal mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program siri Jelajah Prihatin Masjid Tanah dan Majlis Pelancaran Jentera PN negeri di Kampung Paya Lebar, di sini malam Sabtu.
Muhyiddin ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, keputusan mengekalkan Mas Ermieyati dibuat berdasarkan rekod pencapaiannya yang cemerlang sepanjang tiga penggal berkhidmat di kerusi Parlimen itu.
“Bagi saya dia yang terbaik, jadi saya ambil kesempatan umum (untuk) dia seorang di sini. Saya harap orang Masjid Tanah akan gembira dan menyokong beliau.
“(Pemilihan) ini berdasarkan rekod prestasi dan dia pun sudah menjaga kawasan ini dengan baik yang mana (beliau) orang lama dan banyak pengalaman dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita.
Pada PRU14 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan 22,898 undian ketika menentang bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Sabirin Jaafar mewakili PKR dan calon Pas, Mohd Nasir Othman.
Kerusi Parlimen Masjid Tanah dijangka menjadi tumpuan apabila bekas Ketua Puteri UMNO itu bakal berdepan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang disebut-sebut akan dicalonkan untuk kerusi berkenaan buat pertama kalinya.
#Mas Ermieyati Samsudin #kerusi Masjid Tanah #PRU15 #Perikatan Nasional
;