PRU15: 'Marriage of convenience' tidak dapat jamin kerajaan yang stabil - Syahredzan Johan
Israr Khalid
Oktober 26, 2022 06:45 MYT
Oktober 26, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: AJK Tertinggi Pusat DAP, Syahredzan Johan melihat gabungan berasaskan faktor pragmatik tidak dapat mewujudkan keserasian yang jitu antara parti yang mahu membentuk kerajaan bersama.
Sebaliknya, ia perlu berasaskan aspirasi dan agenda yang jelas yang dikongsi bersama untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan dapat bertahan sepanjang penggal akan datang.
Menurut Syahredzam, sekarang ini parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) mempunyai keserasian yang tidak pernah ada sebelum ini.
“Sebelum ini ketika adanya Bersatu dalam PH mungkin keserasian itu berbeza sebab kita ada tiga parti pelbagai kaum dan satu parti Melayu.
“Tapi sekarang kita ada empat parti pelbagai kaum yang agendanya sama, jadi jika kita menang dan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, kita percaya kerajaan itu akan stabil dan situasi “marriage of convenience” itu takkan timbul,” ujarnya dalam program Dialog Bipartisan pada Rabu.
Katanya, yang penting adalah perlu ada prinsip-prinsip asas dan ia mesti sesuatu yang boleh diukur atau “tangible” daripada perjuangan agama, bangsa dan tanah air yang selalu dicanangkan.
“Contohnya agenda reformasi untuk menjadikan Malaysia lebih baik, ada perancangan untuk dilakukan dalam masa dua atau tiga tahun mendatang.
“Itu lebih boleh memastikan bahawa kerajaan itu akan menjadi kerajaan yang stabil yang dapat bertahan untuk penggal tersebut.”