PRU15: Manifesto GPS dilancar malam ini
Shafik Ahmad
November 6, 2022 18:56 MYT
November 6, 2022 18:56 MYT
KUCHING: Menjamin Sarawak stabil, maju dan makmur menjadi tema manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang akan dilancarkan malam ini.
Manifesto berkenaan diisi dengan aku janji dan komitmen gabungan parti itu untuk rakyat Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang, dan menuju negeri maju 2030.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan melancarkan dokumen setebal 64 halaman itu di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching.
Antara lain, ia mengandungi satu hala tuju, lima tonggak utama dan 25 teras yang padat serta inklusif untuk menjamin masa depan Sarawak yang maju dan gemilang.
Teras utama manifesto ini sudah tentu untuk menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak, dengan mengambil ibrah apa yang berlaku kepada politik nasional.
Seperti ditegaskan Abang Johari, fokus GPS pada PRU-15 ini adalah untuk menjayakan “Misi 31” iaitu memenangi semua kerusi parlimen.
“ Hanya dengan kestabilan dan kekuatan politik sahajalah negara ini dapat menjayakan pembangunan dan mengharungi segala cabaran, baik dari sudut politik, ekonomi dan sosial,”antara intipati manifesto tersebut yang sempat dilihat oleh Astro Awani.
Bagi menjayakan usaha ini, GPS memberikan aku janji untuk menjadi gabungan poitik yang unggul dan dekat di hati rakyat, selain menjadikan Sarawak terus kukuh dan stabil dari segi politik.
Ini untuk meneruskan agenda pembangunan dan memastikan negeri ini terus memiliki autonomi politik serta bebas menyuarakan hak dan kepentingan Sarawak.
GPS malah berusaha mengamalkan politik yang inklusif, agar semua lapisan masyarakat menikmati kemakmuran, selain secara berterusan melahirkan pemimpin muda yang berwibawa bagi meneruskan kegemilangan Sarawak.
Manifesto ini dicetak dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.