KUALA LUMPUR: Segala yang ditawarkan dalam empat manifesto daripada setiap gagasan politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyahut aspirasi rakyat ketika ini.

Ketua Penyelidik Ilham Centre Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berpendapat, setiap tawaran menggariskan keprihatinan untuk memperbaiki isu ekonomi yang menjadi suara mendesak rakyat secara keseluruhannya.

Beliau melihat inisiatif berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan harga barang dan seumpamanya menjadi keutamaan teratas dalam manifesto yang ditawarkan BN, PN, PH dan GPS.

“Saya boleh simpulkan dan rumuskan bahawa parti-parti politik arus perdana ini mereka mendengar suara hati, harapan, selera (rakyat).

“Ini adalah manifesto-manifesto rakyat yang kami cerap di lapangan dan juga penyelidik-penyelidik lain, dan mereka mengeluarkan satu (resolusi) yang diharap dapat diberi perhatian oleh parti-parti politik.

“Sekiranya mereka mendengar kami, kami ada potensi untuk memberi kepercayaan,” katanya dalam program Agenda AWANI Menjelang Malaysia Memilih pada Isnin.

Antara lain yang turut diberi perhatian secara amnya dalam semua manifesto adalah isu-isu berkaitan anak muda, yang membentuk 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi pada 19 November nanti.

Ujar Mohd Yusri, ia keadaan yang menggembirakan buatnya apabila manifesto parti-parti utama ini mendukung manifesto rakyat.

Apapun, yang menjadi persoalannya adalah adakah mampu ianya dapat terlaksana nanti, sepertimana yang turut diharapkan rakyat.